Dua maut, tiga cedera bot kargo terbakar

Posted on

KUDAT: Dua kru bot kargo warga tempatan maut manakala tiga lagi cedera selepas bot dinaiki mereka terbakar dipercayai akibat letupan besar di perairan Kampung Padang, Pulau Banggi, dekat sini semalam.

Kedua-dua mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 7 petang itu dikenali sebagai Jafar Janidil, 61, dan rakan sekerjanya Sahlan Ashadan, 27.

Pegawai Perhubungan Awam APMM  Kudat LK (M) Wan Isma’aun Wan Hamat berkata tiga lagi mangsa iaitu Azmain Nawali, 45, Mohd Kamarudin Jafar, 26, dan Mohamad Nasaruddin Jafar, 10, yang melecur sedang dirawat di Hospital Kudat.

“Kita menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 7.03 petang daripada orang awam yang melihat bot itu terbakar. Sejurus, kita mengarahkan dua bot untuk bantuan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bot kargo yang membawa muatan minyak petrol sebanyak 10,000 liter itu dalam perjalanan dari Kudat ke Pulau Banggi untuk menghantar minyak bagi kegunaan di pulau berkenaan.

“Apabila sampai di Kampung Padang kru bot telah menjalankan proses pemindahan minyak dan semasa proses itu berlaku kejadian letupan besar yang mengakibatkan bot itu terbakar,” katanya.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa kini masih di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi untuk urusan dokumentasi dan akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *