Drama Apa Kah Ini?

Posted on
Drama Apa Kah Ini?

Cinta lokasi yang berakhir. (Gambar: Mohamad Bakar)

Kalau mahu diimbas kembali, cerita ‘sengketa’ antara Neelofa VS Fattah Amin sebenarnya penuh drama. Tak habis-habis dengan drama dan ‘sandiwara’. Pernah dikatakan menjalinkan cinta lokasi ketika membintangi drama rantaian fenomena dan kontroversi, Suri Hati Mr Pilot (SHMP), hubungan kedua-dua berakhir dengan masing-masing membawa haluan masing.

Drama Hero Seorang Cinderella (HCS) juga yang pada asalnya mahu menggandingkan Neelofa dan Fattah juga turut mencipta sensasi yang akhirnya watak heroin itu bertukar tangan kepada pelakon berbakat besar Nur Fazura. Peminat masing-masing juga dilihat berbalah sesama sendiri di laman sosial demi mempertahankan artis kesayangan mereka.

Neelofa juga tak mahu ketinggalan melancarkan kempen perniagaannya di bawah nama #truelove yang turut menampilkan model kelahiran Malaysia yang mengembangkan sayap di Indonesia iaitu Miller Khan. Bahkan beberapa babak dalam kempen berkenaan juga bagai memberi bayangan kisah cintanya dengan Fattah yang cukup indah sebelum ini.

Peminat berbalah sesama sendiri.

Ketika promosi drama HCS untuk program MeleTOP pun tercetus ‘drama’ lagi. Kebetulan ia dihoskan Neelofa sendiri bersama Nabil Ahmad. Kecohlah juga di laman sosial apabila Fazura dan Fattah dikatakan tidak hadir untuk promosi berkenaan untuk satu episod yang diaturkan. Akhirnya promosi itu hanya dihadiri Michael Ang selaku pengarah bersama dua pelakon HCS, Uqasha Senrose dan Zizie Ezette.

Fazura dan Fattah bagaimanapun muncul untuk episod seterusnya di MeleTOP ketika bersama Siti Nordiana dan Imam Muda Asyraf.

Mei lalu pun ketika pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor ini pulang awal pada malam kemenangan Fattah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 juga mencetuskan banyak spekulasi dan polemik. Tak kurang juga yang mengatakan Neelofa kononnya tidak boleh menerima kekalahannya itu selepas memenangi kategori utama berkenaan pada tahun sebelumnya.

Jawapan Neelofa ketika itu kerana pulang awal kerana mahu mengelak ‘drama’ sekali gus mencetuskan situasi kurang enak pada majlis berkenaan.

Neelofa bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci apakah ‘drama’ yang dimaksudkan, namun sesetengah pihak beranggapan perkara itu mungkin ada kaitan dengan Fattah.

Masing-masing beri alasan elak drama.

Plot seterusnya berkembang ketika masing-masing bercuti di pulau yang sama Koh Samui, Thailand Jun lalu yang turut disertai Fazura. Fattah dalam kenyataannya sebelum ini juga mengakui dia dan Fazura sememangnya telah menukar jadual penerbangan mereka untuk mengelak bertemu dengan Neelofa.

Kali ini, Fattah pula seperti Neelofa sebelum ini yang membuat tindakan sama yang disifatkan atas paksi bagi mengelak berlakunya ‘drama’ selain berasa tak sedap hati dan atas nasihat keluarga sekiranya berada satu pesawat. Jadi masing-masing berhak membuat tindakan berkenaan dan tidak perlu dipersoalkan.

Siapa yang drama ini sebenarnya?

Tukar rancangan buat umrah ke Koh Samui.

Bagaimanapun ikuti penjelasan Neelofa mengenai ‘babak drama’ percutian di Koh Samui itu.

“Saya sudah membuat persiapan percutian ke lokasi itu lebih awal lagi sejak pertengahan Jun lagi. Saya sepatutnya menunaikan umrah namun atas sebab tertentu, saya akhirnya membuat keputusan bercuti saja dengan kawan ke lokasi terbabit.

“Cuma saya tidak menyangka akan menaiki pesawat yang sama ke lokasi sama dengan pasangan pelakon itu.

“Saya ada berselisih dua kali dengannya ketika mahu check in pada jam 6.30 pagi di lapangan terbang dan sekali lagi di boarding area, itu saja.

“Jadi bila ada dakwaan kononnya kata saya melarikan diri, itu yang saya pelik. Bila pula saya lari? Saya tak buat apa-apa salah dan hanya mahu bercuti merehatkan minda, itu saja,” katanya.

Anggap sebagai ujian Allah.

Neelofa menegaskan juga yang dia tidak tahu menahu mengenai rancangan pasangan terbabit untuk bercuti di pulau yang sama. Neelofa turut mengakui kecewa apabila isu percutiannya itu diperbesarkan oleh sesetengah pihak hingga dituduh sengaja merosakkan ‘mood’ percutian dua pelakon itu.

“Kalau saya jadi mereka, saya akan terus saja naik pesawat yang sama kerana saya takkan membuat hal yang membahayakan mereka. Itu pendapat peribadi saya.

“Saya terkejut bagaimana isu ini menjadi viral dengan begitu pantas. Saya menganggap perkara ini sebagai ujian Allah dan bagaimana saya berhadapan dengannya,” katanya.

Neelofa dalam pada itu enggan mengambil pusing kata kata nista yang dilontarkan netizen kepadanya.

“Sebenarnya itu semua bergantung kepada fikiran kita sendiri. Kalau kita sentiasa positif dan kenal diri sendiri, semua kecaman tidak akan beri kesan apa pun.

“Kadang-kadang saya ada baca komen negatif itu dan kalau terlalu teruk, saya akan padam.

“Selalunya apabila ada isu hangat yang dikaitkan dengan saya baru ada kecaman,” katanya.

Teruja bergandingan dengan Alif.

Neelofa yang baru melancarkan koleksi rangkaian Naelofar Scarf dipanggil Maya yang menampilkan empat warna dengan rekaan unik di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru baru ini juga dalam perkembangan untuk ke lokasi penggambaran drama Red Velvet bergandingan dengan Alif Satar. Penggambaran akan dilangsungkan tidak lama lagi.

Neelofa turut teruja bergandingan dengan Alif yang disifatkannya cukup berkarisma dan serba boleh.

“Saya terima tawaran drama ini kerana mahu bergandingan dengan Alif. Saya kagum dengan lakonannya dalam Dia Semanis Honey.

“Soal sama ada drama ini akan mencetuskan fenomena seperti Suri Hati Mr Pilot, saya hanya menyerahkan kepada peminat untuk menilainya nanti. Ia juga berbalik kepada tuah dan rezeki. Seperti mana saya tidak meletakkan jangkaan ketika berlakon drama Suri Hati Mr Pilot, saya juga bersikap sama untuk drama terbaru ini.

“Saya harap orang tidak akan bandingkan kami. Saya juga percaya peminat akan menyukai gandingan saya dan Alif. Untuk mengembalikan fenomena seperti dulu juga ia bukan hal mudah,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *