Doa keluarga termakbul

Posted on

“SAYA bersyukur doa kami sekeluarga termakbul, saya berharap Hidir dalam keadaan baik,” kata Zuhairah Yusoff Ayudin, 54, ibu kepada Leftenan Mohd Hidir Yusoff Bakri, 32.

Mohd Hidir bersama lapan lagi kru KD Perdana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hilang selepas terputus hubungan dengan kapal yang membawa Tim Menggeledah, 9.30 Sabtu lalu.

Zuhairah berkata, dia terkejut apabila diberitahu bot yang dinaiki anaknya itu ditemui selamat dan melahirkan rasa syukur.

“Sejak dimaklumkan dia (Hidir) hilang, kami sekeluarga tidak putus-putus berdoa dan melakukan solat hajat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat yang berusaha mencari kru yang hilang dan akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Zuhairah, pihak TLDM masih belum menghubunginya untuk memaklumkan keadaan sebenar Hidir.

“Namun saya sangat bersyukur kerana dimaklumkan bot berkenaan ditemui selamat.

“Saya akan ke Kuantan, Pahang selepas dimaklumkan situasi terkini oleh pihak TLDM,” katanya.

Dalam kejadian 9.30 pagi Sabtu lalu, bot dinaiki sembilan kru Tim Menggeledah melakukan rondaan rutin sebelum mengesan 10 bot nelayan Vietnam sedang berada di perairan negara.

Lima daripada bot berkenaan berjaya dihalau keluar ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) manakala lima bot lagi menghala ke utara Tanjung Sedili.

Pada 1 tengah hari, lima lagi bot nelayan asing dikesan sebelum bot kru Tim Menggeledah diarah memeriksa dua daripada bot nelayan berkenaan yang bergerak ke barat manakala KD Perdana bergerak mengusir tiga bot lain.

Kira-kira 30 minit kemudian, bot kru Tim Menggeledah gagal dihubungi KD Perdana menggunakan walkie talkie. Berikutan itu, satu operasi mencari bot berkenaan digerakkan.

Kali terakhir bot berkenaan mengadakan hubungan komunikasi adalah pada kedudukan 29 Batu Nautika dari Tanjung Sedili Besar, Johor.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *