Didakwa bunuh bapa

Posted on

LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jelebu, hari ini atas pertuduhan mengelar bapanya hingga mati di FELDA Lui Timur, 2 Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Nazri Abdullah, 44, yang berpakaian lokap polis tiba di mahkamah pada 9.15 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 9 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah juga memberitahu kes dipindahkan ke Mahkamah Majistret Bahau bagi membolehkan pihak pendakwaraya menunggu laporan forensik dan kimia.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Media sebelum ini melaporkan, suspek dipercayai membunuh bapanya dengan mengelar leher dan menetak belakang kepala serta belakang badan menggunakan parang dalam pergaduhan, 10.30 malam itu.

Mangsa, S Valaytham, 73, yang juga peneroka tanah rancangan ditemui anggota polis peronda yang ke rumah mangsa selepas menerima maklumat daripada jiran mengenai pergaduhan itu.

Suspek yang juga anak ketiga daripada enam beradik dipercayai meminta wang daripada bapanya tetapi tidak diendahkan menyebabkan dia dipercayai bertindak demikian.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *