‘Dia tak akan tinggalkan kami’

Posted on

“WALAUPUN kami bukan ibu bapa kandung dia, saya yakin dia tidak akan meninggalkan kami,” kata Saodah Mahmood, 59, ibu angkat kepada Mohamad Putera Zainuddin, 21, yang tular di media sosial selepas memuat naik keratan akhbar mengenai dia ditinggalkan di perhentian bas di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan pada 23 September 1996.

Saodah yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Muar ketika dihubungi berkata, dia menceritakan status sebenar anak tunggalnya itu 15 tahun lalu, ketika Mohamad Putera atau dipanggil Putera berusia enam tahun.

“Ketika itu, seorang daripada guru tadika asyik bertanyakan sijil kelahirannya sedangkan kami belum memperolehnya dan hanya memberikan surat kebenaran jagaan sementara.

“Beberapa bulan selepas itu, guru berkenaan bertanya kepada Putera sama ada dia anak angkat. Perkara itu menyebabkan dia pulang sambil menangis bertanyakan status sebenarnya.

“Saya tidak sampai hati mahu menipunya dan berterus terang mengenai statusnya itu. Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu dan berharap dengan cara ini tiada masalah lain akan timbul di kemudian hari,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Putera hanya bertanya mengenai ibu bapanya ketika sekolah menengah, namun disebabkan tidak sampai hati dan tidak mahu mengganggu pembelajarannya, dia terpaksa menipu Putera dengan mendakwa ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Katanya, selepas tamat Sijil Penilaian Menengah (SPM), Putera bertanya tentang kubur ibu bapanya dalam keadaan teresak-esak.

“Ketika itu, saya tidak sampai hati mahu memberitahu kejadian sebenar bahawa dia diambil dari Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah, Pahang. Tetapi saya merelakan dia pergi ke pusat berkenaan untuk mencari kebenaran.

“Sebaik membaca kandungan fail, dia menghubungi saya dan kami sama-sama menangis. Mula saat itu Putera nekad mahu mencari ibu bapa serta bidan yang menemuinya. Saya dan suami tidak pernah menghalang sebaliknya memberikan semangat kepadanya.

“Kami tiada anak lain dan ketika mengambil Putera, saya dan suami (Zainuddin Ahmad, 56) sudah bernikah selama empat tahun namun tidak dikurniakan anak. Putera adalah satu-satu anak kami dan sanggup menemaninya ke mana saja untuk mencari ibu bapa serta bidan itu,” katanya.

Menurutnya, sejak berita mengenai anaknya itu tular, dia menerima banyak reaksi positif rakan-rakan dan orang ramai yang memberikan sokongan kepada mereka sekeluarga.

Sementara itu, Mohamad Putera berkata, sejak berita mengenainya tular, dia menerima banyak sokongan daripada netizen dan berharap orang ramai akan membantunya mencari bidan dikenali sebagai Normah Mat Rafin yang menemuinya di perhentian bas berkenaan.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada semua yang cuba membantu terutama ibu bapa angkat yang sentiasa memberikan dorongan dan semangat kepadanya sehingga kini.

“Saya hanya mahu mengenali ibu bapa kandung, itu saja. Saya bersyukur mempunyai ibu bapa angkat yang berhati mulia membesarkan saya dengan penuh kasih sayang selama ini.

“Saya berharap orang ramai yang mengenali bidan itu atau ibu bapa saya dapat menghubungi 012-3440420,” katanya yang kini menuntut Diploma Pembantu Perubatan di kolej di Seremban, Negeri Sembilan.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *