Detik 1957 mendominasi sambutan Hari Kebangsaan 2017

Posted on

KUALA LUMPUR: Umpama menyelak helaian buku sejarah bermula daripada  kemerdekaan 31 Ogos 1957,  sejarah laluan 60 tahun negara yang menakjubkan disajikan secara amat istimewa dan penuh nostalgia pada sambutan Hari Kebangsan 2017 di Dataran Merdeka hari ini.

Disaksikan ribuan hadirin di dataran bersejarah dan rakyat Malaysia melalui siaran secara langsung oleh stesen utama televisyen tempatan, persembahan tahun ini mengembalikan detik bagaimana tanah air dibina hasil kepayahan yang diatasi secara kebersamaan dan perkongsian kuasa oleh anak Malaysia.

Gambaran kegemilangan Malaysia setiap era di bawah teraju enam Perdana  Menteri dikisahkan secara imbasan babak demi babak daripada sebuah negara yang baru  merdeka kini di ambang negara maju.

Bertepatan dengan tema sambutan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’, semangat kesepaduan, kesefahaman dan kekitaan bukan sahaja terserlah pada wajah barisan kepimpinan  negara tetapi juga terpancar pada peserta dan orang ramai yang membanjiri lokasi  seawal 6 pagi.

Acara sambutan bermula dalam cuaca cerah pada 8 pagi dihadiri Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan pemimpin negara daripada pelbagai latar belakang serta ribuan orang ramai.

Pada sambutan ini, Stadium Merdeka – yang menjadi saksi pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957, ‘dibina semula’ di Dataran Merdeka, sekali gus membolehkan orang ramai dan peserta merasai seolah-olah berada di stadium bersejarah itu. 

Dataran Merdeka juga ‘dibawa kembali’ pada persekitaran 1957 menerusi penonjolan suasana kehidupan pada ketika itu termasuk dari segi rupa, gaya masyarakat berpakaian serta kenderaan.

Detik bersejarah laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Bapa Kemerdekaan turut dilakonkan semula, melibatkan penampilan istimewa Najib yang berpakaian seragam warna kuning khaki.  
   
Beberapa individu istimewa turut dibawa khas ke Dataran Merdeka antaranya dua pesara Tentera Laut Diraja Malaysia yang ditugaskan menaikkan bendera Malaysia buat pertama kali iaitu Lt Komander (B) Mohd Sharif Kalam dan Pegawai Waran 1 Komander (B) Oliver Culvelt Samuel.

Turut ditampilkan, Rusnah Aksah, gadis sunti berusia 12 tahun ketika diamanahkan melepaskan 101 merpati di Stadium Merdeka pada 16 Sept 1963, sempena pengisytiharan pembentukan Malaysia.

Berbeza pada kali  ini, Rusnah, 66, melepaskan 60 merpati sebagai simbolik  60 tahun negara mengecapi kemerdekaan dan kejayaan bawah pentadbiran kerajaan sekarang.

–BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *