Datuk Siti Nurhaliza Hamil Empat Bulan

Posted on
Datuk Siti Nurhaliza Hamil Empat Bulan

Datuk Siti berehat daripada semua kerja dan aktiviti. (Pic: Instagram @ctdk)

Spekulasi kehamilan Datuk Siti Nurhaliza terjawab apabila penyanyi terkenal itu mengesahkan dirinya mengandung empat bulan.

Siti, 38, berkongsi berita gembira itu melalui siaran langsung Instagram Live miliknya, @ctdk dan YouTube Siti Official Video dari kediamannya di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

“Pada usia 38 tahun dan ulang tahun ke-11 perkahwinan, Tuhan makbulkan impian untuk bergelar ibu, tidak lama lagi. Fokus saya sekarang adalah semua hal membabitkan anak dan tidak mengambil sebarang kerja atau aktiviti,” katanya.

Terang Siti, tujuan utama beliau membuat pengumuman adalah supaya pihak yang berurusan dengan Siti Nurhaliza Production memahami keadaan dirinya yang tak dapat memenuhi undangan sejak beberapa bulan lalu dan untuk tempoh akan datang.

Terdahulu, Siti dan suami mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat yang dihadiri sanak-saudara dan kenalan rapat mereka.

Pada sesi itu, Siti yang mengenakan jubah berwarna merah muda tampak berseri-seri. Paling ketara, tubuh Siti kelihatan sedikit berisi sesuai dengan perubahan fizikal yang dialaminya.

“Saya harap peminat dan semua pihak supaya kandungan saya sihat. Semoga anak yang dilahirkan nanti akan menjadi insan yang baik,”katanya.

Spekulasi kehamilan Siti mula tersebar sejak beberapa bulan lalu apabila penyanyi lagu Segala Perasaan itu berhasrat memperlahankan seketika kerjaya seninya.

Namun, Siti yang tampil dengan album terbaharu, SimetriSiti, Mei lalu, enggan menggembar-gemburkan berita kehamilannya kerana bimbang sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Pada Disember 2015, Siti pernah mengalami keguguran ketika kandungannya berusia dua bulan.

Ketika itu, Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin dilaporkan reda dan bersyukur kerana anugerah terindah itu sempat dipinjamkan Allah SWT seketika.

Siti dan Khalid mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *