Dah jumpa… الحمد لله

Posted on

PEMANCING yang terjatuh ketika memancing di perairan Terengganu 23 Julai lalu ditemui selamat oleh sebuah bot nelayan Vietnam selepas hanyut di sempadan perairan Malaysia-Vietnam, kelmarin.

Suhaimi Muhamad, 41, dilaporkan terjatuh dari bot ketika memancing dalam lingkungan 10 batu nautika dari perairan Pelantar Minyak Dulang di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mamu Said Alee berkata, pihaknya sudah menghubungi Wisma Putra untuk urusan membawa pulang mangsa ke negara ini.

“Kita mendapat maklumat daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan bahawa mangsa ditemui hanyut di perairan sempadan Malaysia-Vietnam.

“Selepas memastikan identiti mangsa semalam, APMM melalui MRSC Kuantan menamatkan operasi mencari dan menyelamat, tengah hari semalam,” katanya dalam kenyataan media di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, bot nelayan itu mangsa ke pelabuhan Vung Tau, Vietnam dan dijangka tiba pada 30 Julai ini.

Ahad lalu, Suhaimi yang berasal dari Kuala Lumpur dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut ketika sedang memancing di perairan berhampiran Pelantar Minyak Dulang kira-kira 65 batu nautika dari Kuala Terengganu, sekitar 4.30 petang.

Susulan kejadian itu, pasukan penyelamat menggerakkan aset iaitu KM Jujur, KM Nusa dan pesawat Bombardier CL415MP milik APMM serta KD Handalan daripada Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *