Dah buntu…

Posted on

SUDAHLAH ibu sakit tenat di kampung, teksi yang menjadi punca pendapatan pula rosak manakala enam anak memerlukan wang untuk membiayai persekolahan dan di universiti.

Sejak lima hari lalu, hidup pemandu teksi, Mohamad, 45, yang kini diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga menyebabkan dia buntu memikirkan jalan keluar daripada kesempitan hidup.

Setiap hari sejak awal bulan lalu, dia membawa bersama catatan perbelanjaan ’10 perkara’, yang mengandungi jumlah tanggungan yang perlu dibiayainya sebagai ketua keluarga selepas bercerai dengan isteri hampir setahun lalu.

Buntu dengan masalah itu menyebabkan dia menebalkan muka meminta bantuan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk mencari sesuap nasi.

Kini dia sekeluarga turut dibantu anak kedua, seorang orang kurang upaya (OKU) yang bekerja sebagai pembantu restoran untuk meringankan beban ditanggung.

“Allahu akbar. Saya puas berikhtiar meminjam sana sini untuk mencari modal membaiki teksi saya.

“Saya cuba sedaya upaya untuk menyekolahkan anak-anak dan memberi pelajaran kepada mereka. Dua anak saya di universiti dan empat yang lain bersekolah.

“Dalam keadaan tertekan, saya pernah terfikir untuk membeli nombor ekor, tetapi alhamdulillah, Allah pelihara saya daripada perkara sebegitu,” katanya kepada Harian Metro.

Antara kandungan catatan 10 perkara itu termasuklah bil elektrik berjumlah RM340, air (RM47), sewa permit teksi (RM2,360), tunggakan pinjaman syarikat teksi (RM1,770), baiki teksi (RM1,544), tunggakan cukai pintu (RM2,233), perbadanan dan pengurusan perumahan berjumlah RM1,912.

Mohamad berkata, dia mengharapkan bantuan orang ramai untuk mendapatkan pekerjaan bagi memulakan hidup baru bersama anak-anak selain sebagai jaminan masa depan.

“Malu memanglah malu, tapi saya begitu terdesak sehingga terpaksa minta bantuan kepada PPIM. Saya doakan semoga diberi kesempatan melawat ibu yang sakit, tambahan pula ketika hari raya ini,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *