Dadah: 11 Termasuk 3 Remaja Ditahan

Posted on

YAN – Seorang remaja lelaki 16 tahun yang tercicir persekolahan bersama dua rakannya berusia 18 tahun antara penagih yang ditahan dalam Operasi Cekup & Cegah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Yan dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Pegawai AADK Daerah Yan Mohamad Ramli berkata kesemua remaja itu ditahan sewaktu leka melepaskan gian di sebuah rumah di Kampung Pasir yang dipercayai sarang penagihan dadah sejak beberapa bulan lalu.

“Operasi selama tiga jam yang bermula 1 pagi itu melibatkan 11 anggota diketuai Wan Noor Shah Abdullah itu turut menahan sembilan individu lain berusia antara 20 dan 50 tahun, yang terdiri daripada pekerja kontrak dan penganggur, di beberapa lokasi berbeza,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga remaja terbabit positif dadah jenis syabu manakala sembilan lagi individu didapati kesemuanya positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

“Kesemua penagih yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod dengan AADK dan dibawa ke Pejabat AADK Yan untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Operasi hasil aduan awam dan anggota keluarga serta risikan anggota AADK ini mendapat kerjasama baik daripada anggota keluarga yang terlibat bagi memastikan hasrat membanteras dadah hingga ke peringkat akar umbi tercapai,” katanya. – BERNAMA

[embedded content]

Artikel berkaitan untuk dibaca :

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *