Cukai: LHDN Buru Golongan Profesional

Posted on

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melancarkan operasi pengauditan berhubung isu percukaian ke atas golongan profesional melibatkan arkitek, peguam dan jurutera dalam masa terdekat, kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah.

Beliau berkata berdasarkan analisis risiko, maklumat pelbagai pihak termasuk pihak ketiga dan analisis Bank Negara Malaysia, terdapat kalangan golongan itu yang tidak mengisytiharkan pendapatan mereka.

Tanpa mendedahkan jumlah yang disasarkan di bawah peruntukan Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967, Sabin berkata operasi itu mungkin dilaksanakan pada bulan depan atau Oktober nanti.

“Saya nasihatkan kepada golongan profesional ini untuk datang ke LHDN dan membuat pendedahan sukarela,” katanya pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Merdeka 2017 di sini hari ini.

Mengenai sasaran kutipan cukai sebanyak RM127.7 bilion tahun ini, Sabin berkata ia boleh dicapai namun terdapat beberapa ‘kekangan’ antaranya pengumuman pengurangan kadar cukai sebanyak satu peratus yang boleh mengurangkan kutipan hasil.

“Satu lagi adalah kutipan cukai dari hasil petroleum, mengikut anggaran, LHDN sepatutnya memperoleh RM8 bilion, tetapi sehingga kini kita baru mendapat RM3 bilion, ini antara cabaran kita,” katanya.

Setakat ini katanya, LHDN berjaya mengutip cukai berjumlah RM75.7 bilion, meningkat 2.72 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ditanya sama ada LHDN sengaja menyasarkan keluarga Tun Dr Mahahir Mohamad dalam siasatan membabitkan percukaian ekoran laporan serbuan LHDN ke pejabat anak-anak bekas perdana menteri itu, beliau berkata pihaknya tidak mengamalkan tindakan siasatan selektif atau bermotif politik.

“Tidak ada campur tangan politik. Sebarang siasatan atau tindakan audit terhadap mana-mana individu atau syarikat adalah berdasarkan analisa risiko yang teliti oleh LHDN.

“Apabila kita siasat atau audit, LHDN tidak saja siasat satu syarikat atau satu pengarah tetapi akan melakukan siasatan ke atas kumpulan syarikat itu. Itulah yang diamalkan di negara-negara lain,” katanya.

Sabin dalam pada itu berkata LHDN mendapati kira-kira 20 peratus daripada peniaga makanan yang dilawati sepanjang bulan ini dalam operasi Op Saji tidak mempunyai fail cukai pendapatan.

“Bagi yang sudah mempunyai fail cukai pendapatan, hampir 10 peratus gagal isytiharkan cukai mereka melalui borang nyata cukai pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi dan Multimedia Korporat LHDN Masrun Maslim menasihatkan pelakon Shaheizy Sam supaya menyelesaikan segala tunggakan cukai dalam tempoh enam bulan ini sebelum prosiding kes bankrap terhadapnya difailkan pada 15 Februari tahun depan.

Beliau berkata jika semua tunggakan dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan, LHDN akan menarik balik kebankrapan terhadap pelakon berkenaan.

“Buat apa yang patut dan jangan berlengah. Jika dia sudah menyelesaikan semua tunggakan dan cawangan guaman kita berpuas hati, kita boleh tarik balik (notis kebankrapan),” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan sehingga 15 Februari tahun depan bagi LHDN memfailkan petisyen pemiutang bagi meneruskan prosiding kes bankrap ke atas pelakon Shaheizy Sam. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *