Buntu Di Dalam Ujian

Posted on

Buntu Di Dalam Ujian

Assalamualaikum. Terima kasih kepada admin sebab membenarkan cerita saya dipamerkan. Terima kasih juga kepada pembaca sebab sudi membaca luahan/cerita saya. Cerita saya amat panjang kerana ia bermula dari bulan puasa tahun lepas hingga sekarang. Bacalah apabila ada kelapangan masa.

Saya adalah seorang jurutera perisian yang bekerja di salah sebuah syarikat MNC. Dengan gaji yg agak sederhana, saya menanggung keluarga kecil iaitu seorang isteri yang tidak bekerja dan seorang anak lelaki.

Titik perubahan hidup saya berubah bila saya kemalangan pada puasa tahun lepas. Kemalangan itu menyebabkan kecederaan pada tulang belakang saya. Pada awalnya, doktor menyatakan hanya sakit biasa dan memang dijangkakan sakit sebegini apabila kemalangan.

Selepas sminggu cuti sakit, saya sambung bekerja semula. Walaupun keadaan belakang saya masih sakit dan tidak selesa, saya masih gagahkan diri untuk bekerja. Ia adalah kerana saya baru bekerja di syarikat itu dan belum dapat pengesahan jawatan.

Selang beberapa minggu, sakit belakang menjadi semakin teruk. Selepas dirujuk kepada pakar, saya didiagnose dengan slip disc. Saya diberi cuti beberapa hari dan dinasihatkan untuk membuat fisioterapi dan memakai corset untuk menjaga/memulihkan tulang belakang.

Saya menyambung semula bekerja dengan memakai corset tersebut dan hanya tanggalkannya selepas pulang kerumah. Selepas 2,3 hari. Keadaan saya menjadi semakin teruk. Saya terasa senak yang amat sangat dibahagian sulit(testical) belah kanan.(rasa macam kena tendang di bahagian tersebut). Pada awalnya hanya sekejap2. Tapi semakin lama menjadi makin lama dan akhirnya ia tidak hilang2.

Saya berjumpa semula dengan pakar yang merawat dan saya dirujuk ke bahagian urologi. Hasil siasatan menunjukkan semua normal. Tiada angin pasang, tiada masalah urat tersimpul atau apa2. Keadaan belakang saya pn menjadi semakin teruk. Dalam keadaan saya berjalan dengan penuh terseksa, kadang2 kaki saya jadi hilang deria rasa. Saya akan terjatuh dan tidak mampu bangun. Namun simptom ini hanya sementara. Doktor mengesyaki segalanya berpunca daripada kecederaan tulang belakang itu.

Oleh itu, doktor mengesyorkan untuk melakukan pembedahan. Pada awalnya saya menolak kerana ingin mencuba alternatif lain. Ketika ini, ramai la penjual produk mengesyorkan produk mereka mampu merawat sakit saya. Kesudahannya hanya duit yang habis, tapi tiada hasil. Saya mencuba pula rawatan2 lain seperti cyropractor, accupunture dan urutan kampung yang konon2 mampu merawat slip disc dan senak tp tiada hasil juga. Sepanjang tempoh ini, saya tidak bekerja langsung. Saya menghabiskan semua cuti tahunan untuk merawat sakit.

Selepas +-sebulan mencuba, saya mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan. Sejurus lepas menjalani pembedahan, senak dan sakit belakang mula berkurang. Saya sangkakan pembedahan itu berjaya. Namun sangkaan saya silap. 2 minggu selepas pembedahan, senak mula menjadi kuat semula dan saya dirujuk semula dengan pakar.

Kesihatan mental saya terkesan daripada kecederaan itu. Dari tempoh saya mula merasa sakit senak itu, saya menjadi sangat susah untuk tidur. Dalam seminggu, saya hanya mampu tidur sejam dua walaupun sudah dicucuk ubat tido dan ubat tahan sakit yang paling kuat. Tiap2 hari saya menangis, meraung, menjerit, bercakap seorang diri, merayu2 dengan doktor untuk hilangkan sakit. Terasa seperti orang gila. Semua berlaku dalam keadaan sedar dan separa sedar. Malah saya pernah meminta supaya doktor membuang sahaja bahagian sulit supaya boleh hilang senak 2 namun ditolak kerana membuang bahagian itu pun belum tentu boleh menghilangkan senak.

Selesai siasatan doktor, mereka tidak mampu mencari punca kesakitan saya. Malahan mereka sendiri tidak tahu cara untuk membantu mengurangkan sakit kerana telah memberi semua ubat yang termampu. Mereka hanya mampu memberi cadangan untuk membuang disc dan ia hanyalah cadangan dan bukan kepastian yang boleh memberi jaminan untuk merawat kecederaan saya. Saya menolak cadangan doktor, minta untuk pulang dan mencuba cara-cara kampung yg lain. Ketika ini saya mengambil cuti tanpa gaji. Setelah mengambil cuti yang terlampau lama, ditambah dengan status saya yang masih belum mendapat pengesahan jawatan, majikan tidak mampu bertahan lagi. Saya diberi pilihan samada ditamat kontrak(diberhentikan) atau berhenti secara sukarela. Saya memilih untuk berhenti sukarela.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Masuk tahun baru, keadaan saya bertambah teruk dimana saya menjadi lumpuh sepenuhnya.(Saya boleh merasa kaki tetapi tidak mampu untuk menggerakkan ia sedikit pun kerana terlalu sakit). Malah saya tidak boleh pusing sedikit pun ketika baring. Semua rawatan alternatif tidak mendatangkan hasil, sebaliknya memakan diri sendiri. Saya dikejarkan terus ke kecemasan. Hasil siasatan kali ini menunjukkan disc saya telah pecah sepenuhnya dan saraf saya telah terjejas teruk. Pembedahan kecemasan untuk membuang disk dilakukan segera.

Selesai pembedahan itu, saya boleh menggerakkan kaki saya semula. Senak pun mula berkurangan. 3 minggu selepas pembedahan, saya sudah mampu untuk berjalan semula menggunakan tongkat. Senak pun sudah berkurang, walaupun sekali sekala masih terasa. Saya sangkakan saya sudah terkeluar daripada dugaan berat ini, namun sekali lagi sangkaan saya meleset.

Saya telah disahkan OKU kerana sudah tidak boleh melakukan gerakan seperti normal seperti berjalan, turun/naik tangga dan mcm2 lagi.(walaupun tahu OKU, tapi tidak mendaftar kad OKU). Ini menjejaskan keupayaan saya untuk mencari pekerjaan semula. Banyak syarikat tidak berani mengambil saya kerana bimbang keupayaan saya untuk bekerja seperti biasa. Saya melakukan kerja GRAB untuk menampung hidup kami sekeluarga. Saya tidak melakukan tiap2 hari, hanya ketika saya rasa betul2 sihat. Kerja ini tidak mampu menampung belanja sepenuhnya, tapi lagi baik daripada tiada pendapatan langsung. Sepanjang tempoh tidak bekerja, saya menghabiskan semua simpanan, berhutang dengan ahli keluarga dan rakan untuk menampung keperluan hidup.

Masuk bulan ramadhan tahun ini, saya mendapat berita baik dan buruk. Baiknya, saya akhirnya dipanggil untuk sesi temuduga dan berjaya menarik minat sebuah syarikat MNC untuk mengambil saya bekerja. Buruknya, seperti hasil pembedahan sebelum ini, kesan pulih dari kecederaan hanya smentara. Sakit dibelakang mula menjadi kuat semula. Senak saya pun mula menjadi kuat dan menggangu tidur saya semula. Walaupun tidak seteruk dulu, ia merisaukan saya.

Bimbang akan menjadi teruk seperti sebelum ini. Saya mengadu kepada doktor yang merawat, dan beliau hanya bertanya jika sakit ini teruk seperti dulu. Beliau sudah berpuas hati jika tidak sakit seperti dulu dan hanya berhenti disitu.(Jika teruk seperti dulu, sudah pasti saya tidak berjalan semula.) Seolah-olah sudah tidak ada jalan penyelesaian.

Dalam masa sama, saya risau akan keperluan keluarga juga. Jika saya tidak bekerja, bagaimana dengan makan minum kami? Sampai bila perlu saya berhutang dan mengharapakn simpati keluarga.(sehingga sekarang, hutang kami mencecah puluhan ribu). Isteri saya memang bekerja, tapi tidak mampu menanggung semua keperluan keluarga. Jika saya bekerja pula, bagaimana jika kerja itu akan menjejaskan kesihatan saya dan menyebabkan saya lumpuh seperti dulu? Dilemma ini asyik bermain dalam fikiran saya sekarang.

Saya xpernah berhenti berdoa kepada yang Maha Esa. Sejak dari kejadian, setiap malam saya solat tahajud dan taubat(walaupun tak tidur, namun masih membuat solat tersebut). Setiap kali lepas solat fardhu saya akan tambah dengan solat hajat dan setiap pagi saya xlupa untuk solat dhuha. (walau dalam lumpuh, saya xpernah tinggal solat2 ini). Setiap kali dapat duit, saya xakan lupa untuk bersedekah. Segala usaha yang termampu sudah saya buat, namun saya tetap didalam keadaan ini. Malah saya pernah berjumpa ustaz untuk melihat jika saya ada gangguan dari segi lain. Semuanya buntu. Saya sudah tidak mampu berfikir jalan keluar, tidak tahu apa lagi usaha yang mampu saya lakukan untuk keluar dari ujian besar ini.

Jika ada sesiapa dari kalangan pembaca yang boleh bagi cadangan atau jalan penyelesaian, harap boleh tinggalkan komen. InsyaAllah saya akan balas. Jika ada sebarang kekeliruan atau timbul salah faham dalam confession ini, saya mohon maaf. Tiada niat untuk menyalahkan atau memburukkan imej mana2 pihak. Hanya sekadar meluahkan masalah yang terbuku.

Mohd Fikrie

Sumber & Kredit: iiumc

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *