Buat semakan latar belakang calon penyelia di sekolah, IPT – Dr Hilmi

Posted on

MELAKA: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya menasihatkan setiap asrama di sekolah atau mana-mana institusi pengajian tinggi khususnya swasta untuk membuat semakan latar belakang setiap individu sebelum dilantik menjadi penyelia atau pembantu penyelia.

Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan pelajar mendapat jagaan yang baik

Tegasnya, pemeriksaan kesihatan terutama dari segi mental juga penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Sekolah perlu membuat pemeriksaan rekod lampau calon yang ingin diambil bekerja, contohnya melalui rekod polis atau pihak yang mengetahui tempat kerjanya dahulu.

“Selain itu, boleh juga semak rekod jika calon mengalami masalah mental dan sebagainya untuk mengetahui latar belakangnya,” kata Dr Hilmi selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Sainstifik Ke-3 Persatuan Juruteknologi Makmal Perubatan Malaysia di Bandar Hilir, Melaka.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang didakwa dipukul pembantu warden asrama di sekolahnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata Malaysia masih kekurangan tenaga pakar dalam bidang kesihatan berdasarkan permintaan yang semakin tinggi di negara ini.

Justeru, beliau menggalakkan belia terutamanya untuk mendapatkan sebanyak mungkin kepakaran untuk masa hadapan mereka sekali gus dapat menyumbang kepada negara.

Malaysia kini mempunyai lebih 4,500 orang pakar dalam sektor kerajaan yang merangkumi pelbagai bidang perubatan.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *