Bob Mahu Ingatkan Penonton Kemampuan Diri

Posted on
Bob Mahu Ingatkan Penonton Kemampuan Diri

Mahu kembalikan ingatan peminat pada beliau. (Pic: Aishah Aziz)

Akui penyanyi yang mempunyai suara emas ini, misi dan perjuangannya dalam AF Megastar tersimpul kemas selepas pertandingan akhir Ahad lepas.

Bukan mendabik dada, dia mengaku puas kerana apa yang mahu ditampilkan sepanjang pertandingan itu dapat dilakukan dengan jayanya.

“Saya sudah berada dalam industri selama 13 tahun dan sepanjang itu juga sebenarnya ramai yang tidak kenal siapa saya. Malah ada yang terlupa.

“Lalu, saat dipilih menjadi peserta dalam AF Megastar, saya nekad mahu ingatkan kembali kepada penonton kemampuan saya sebagai penyanyi,” katanya dalam nada terharu kepada Rojak Daily Kaw!

Vokal Bob sentiasa mendapat pujian juri.

Siapapun tidak boleh menafikan kredibiliti vokal yang dimilki pemilik nama sebenar Yusrizan Yusop ini malah ia disokong oleh dua juri profesional pertandingan itu iaitu Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat yang sentiasa melontarkan pujian terhadap suara Bob.

Soal kemenangan memang jatuh nombor dua, bagi penyanyi ini dia mahu penonton lihat apa yang mampu ditawarkan olehnya sebagai penyanyi saban minggu dalam AF Megastar.

“Kalau cakap soal kepuasan, saya tidak mudah menyatakan ia namun jujurnya sepanjang dalam AF Megastar saya gembira kerana semua yang susun dapat dilaksanakan dengan baik.

“Saya mahu penonton tengok apa yang Bob ada dan apa yang Bob boleh lakukan sebagai penyanyi,” katanya mengukir senyuman penuh makna.

Harap peminat nampak usaha beliau.

Pelantun lagu Cinta Seorang Teman itu, menggalas misi tersendiri dalam pertandingan berkenaan dan dia bersyukur hajatnya kesampaian dan peminat menerimanya dengan positif.

Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi penyanyi ini apabila ramai menyedari kemampuannya sebagai penyanyi dan kebolehan yang dimilki.

“Saya gembira kerana mendapat reaksi positif peminat dan penonton AF Megastar. Jangan salah faham saya bukan dahagakan pujian tetapi saya harap mereka nampak usaha saya.

“Bila mereka menyokong saya dengan kata-kata semangat itu juga sudah memadai,” katanya.

Tidak pernah ambil peduli dengan pandangan sesetengah orang yang memperlekehkan paranya, Bob percaya bakat mengatasi segalanya.

Meskipun akur, ada kalanya masih wujud hal sedemikian ia sedikitpun tidak patahkan semangat Bob.

“Kalau mahu fikir orang kutuk saya sebab rupa tak kacak atau saiz saya sudah lama saya balik kampung dan berhenti menyanyi.

“Saya pekakkan semua itu dan kalaupun ada diskriminasi terhadap dari kalangan orang industri saya tidak pernah berkecil hati.

“Saya percaya pada rezeki Allah,” katanya.

Sedih tidak dapat berkongsi persembahan bersama arwah ibu.

Dalam nada sebak dan menyeka air mata, Bob sedih kerana persembahannya tidak dapat dikongsikan bersama arwah ibunya.

“Saya percaya mak akan gembira dengan apa yang saya persembahkan sepanjang AF Megastar dan mendengar penghargaan yang saya terima,” katanya.

Berharap lagu baru dimainkan di radio.

Muncul dengan single Terbuang Dalam Pelukan, dia berharap mendapat sokongan peminat dan stesen radio agar lagu itu diputarkan.

“Saya berharap lagu ini diterima baik dan lebih banyak ruang terbuka untuk saya dalam industri ini.

“Syukur semakin banyak undangan yang besar saya terima dan terima kasih saya ucapkan,” katanya.

Bob antara peserta yang memberikan saingan paling sengit menerusi persembahan konsistennya setiap minggu.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *