Berkongsi Hidup

Posted on

Berkongsi Hidup

Memohon maaf kerana topik yang tipikal.

Lupakan zaman nenek moyang dahulu, yang mana norma masyarakat adalah isteri di rumah dan suami bekerja. Ini tahun 2017, sila berfikir mengikut peredaran zaman.

Pandangan yang berkata kepada anak bujang supaya bernikah cepat agar ada orang menjaga wajib dihapuskan serta-merta, kerana pandangan itu ramai lelaki mencari isteri untuk dirinya (suami) dilayan seperti raja! Jika ketika bujang tidak reti mengurus diri sendiri, bagaimana hendak mengurus keluarga. Berkeluarga bermakna bertambah tanggungjawab, bukan berkurang.

Kerana desakan ekonomi, majoriti suami dan isteri perlu bekerja. Tetapi segelintir perempuan rela menjadi suri rumah demi keselamatan anak-anak, juga kerana faktor ekonomi dengan mengorbankan perasaan dan keinginan peribadi. Lelaki hendak berkerjaya, perempuan juga sama. Bertolak- ansur, setiap pihak ada pengorbanan masing-masing.

Dua orang diperlukan untuk berkahwin, dua juga diperlukan untuk mendapatkan anak, tetapi kenapa selalunya hanya seorang yang perlu mengurus rumah tangga dan menjaga serta mendidik anak? Ingat, tiada seorang pun berkahwin untuk menjadi hamba kepada seorang yang lain.

Lelaki dan perempuan, berkahwinlah kerana ingin berkongsi hidup. Bukan untuk dilayan seperti raja, bukan untuk mencari pengurus atau pun penaja hidup, tetapi kerana rasa kasih dan mengambil berat tehadap satu sama lain. Perasaan dan persefahaman ini penting dan relevan sepanjang perkongsian hidup.

Layan ibu bapa pasangan seperti ibu bapa sendiri. Saya tidak berpegang kepada syurga suami pada ibunya, dan syurga isteri pada suami. Betapa ramai yang menyalah- guna untuk kepentingan diri. Saya yakin, redha Allah ada pada redha ibu bapa, kedua-dua belah. Berbincang dan berlaku adil.

Lelaki dan perempuan dicipta berbeza untuk melengkap, bukan untuk seorang menjadi tuan kepada seorang yang lagi. Pandangan bahawa kerja rumah dan menjaga anak adalah tugas perempuan dibentuk secara sosial, ia bukan pandangan agama. Berhenti memfitnah agama dan mengambil tugas Tuhan menghantar orang ke syurga-neraka.

Tengok anak-anak yang rosak moral dan etika. Perhatikan keluarga mereka. Ini bukan tentang agama, ini tentang pengetahuan asas untuk hidup berharmoni. Belajar tinggi- tinggi, jangan sekadar megah di sijil tetapi masalah asas kepada pembentukan masyarakat, gagal serba-serbi.

Terima kasih.

30/06

m.s

Sumber & Kredit: iiumc

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *