Bekas CEO FIC ditahan SPRM

Posted on

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini bagi membantu siasatan pembelian hotel oleh agensi itu di London.

Perkara itu disahkan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani dan turut memaklumkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.

Sebelum itu, Mohd Zaid memberi keterangan hampir 12 jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bermula 9.30 pagi tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan sebelum ditahan pada 9.20 malam.

Sumber SPRM berkata, suspek dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan pembelian hotel di Kensington, London yang dikatakan dibeli pada harga lebih tinggi berbanding harga pasaran antara 2013 dan 2015.

Pada 22 Julai lalu, dua individu iaitu pengarah syarikat perundingan pengurusan aset dan Ketua Unit Harta syarikat perkhidmatan pos direman enam hari sebelum disambung empat hari lagi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki berusia 45 dan 36 tahun itu sudah dibebaskan dari tahanan reman hari ini.

Ketika pembelian hotel itu dilakukan, kedua-dua mereka masing-masing bertugas sebagai Ketua Penasihat Korporat dan Pengarah syarikat Raine and Horne yang dilantik FIC untuk menguruskan pembelian hotel berkenaan.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *