Bawa Ibu Bapa Sudah Tiada Rai Persandingan

Posted on

KAHERAH – Bagi sesetengah kita, ibu bapa masih terasa dekat di hati meskipun mereka sudah lama meninggalkan alam fana. Begitulah yang turut dirasakan oleh seorang pengantin lelaki di Mesir.

Malah, demi perasaan cintanya yang mendalam kepada ibu bapanya, beliau ‘membawa’ kedua-dua mereka yang sudahpun meninggal dunia untuk hadir ke majlis persandingannya – tetapi dalam bentuk poster saiz sebenar.

Dalam catatan menerusi akaun Facebook yang penuh emosi, menurut laman Al Arabiya, Omar Gedo, menulis mengenai bagaimana beliau tidak pernah membayangkan untuk meraikan hari pernikahannya, tanpa ibu bapa.

“Jika dapat diputar kembali masa, saya tidak akan meninggalkan ibu bapa saya dan akan meluangkan lebih banyak masa untuk berbual dengan mereka,” tulisnya, seperti dipetik oleh portal berita antarabangsa tersebut.

“Jagalah ibu bapa anda dengan baik, duduk dan luangkan seberapa banyak masa bersama mereka, berbual dan biarkan mata anda nikmati masa untuk melihat mereka..”

Di majlis tersebut, menurut Al Arabiya, Encik Omar mahu memberi penghormatan kepada mereka dengan menghasilkan gambar beranimasi bagi kedua-dua ibu bapanya yang berpegangan tangan.

Omar dilihat di media sosial bergambar dengan poster saiz sebenar itu – sekaligus mengambil gambar dengan ‘ibu bapanya’.

Luahan hatinya itu turut dihargai oleh para pengguna media sosial, di mana ramai yang memuji idea tersebut sambil mengirimkan doa kepada kedua-dua ibu bapa Encik Omar.

“Catatan anda membuat saya benar-benar tersentuh, ibu bapa saya juga sudah meninggal dunia, dan saya berharap mereka dapat kembali walaupun untuk sehari,” tulis seorang pengguna. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
– Agensi

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *