Bapa dihadapkan ke mahkamah kerana dera anak

Posted on

AYER KEROH: Seorang bapa dihadapkan ke mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menumbuk, memijak dan memukul anak lelakinya berusia sembilan tahun sehingga cedera pada Februari lepas.

Tertuduh Mohd Harizan Itai, 37 tahun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Sazali Omar.

Mohd Harizan didakwa melakukan perkara itu kira-kira pukul 7.20 malam di Kampung Batu Nyalas, Asahan, dalam daerah Jasin pada 3 Februari.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menganiaya anak kandungnya dengan cara menumbuk pada bahagian mulut, memijak bahagian paha sebelah kiri dan memukul bahagian kepala serta pinggang sehingga berdarah.

Tertuduh didakwa di bawah Seskyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya N. Sivashangari mencadangkan mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan khuatir tertuduh akan mengancam mangsa yang merupakan anak kandungnya memandangkan mereka masih lagi tinggal serumah.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Sulaiman Harmain Shah merayu mahkamah untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jaminan yang rendah memandangkan dia hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *