Banjir Tuaran: 2,389 mangsa dipindahkan

Posted on

TUARAN: Sebanyak 553 keluarga membabitkan seramai 2,389 mangsa banjir di daerah Tuaran dan Kota Belud masih ditempatkan di 10 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah berkenaan pada hari ini.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, setakat jam 3.30 petang hari ini, usaha memindahkan mangsa banjir yang terjejas masih giat dijalankan membabitkan beberapa buah perkampungan di dua daerah terbabit.

Antara kampung yang terjejas akibat banjir di daerah Tuaran adalah Kampung Indai, Bunga Tenghilan, Rongolis, Tutu Selupoh, Tinuhan, Dungan, Rugading, Bombong, Gayungan dan Kegayungan.

Manakala di Kota Belud, perkampungan yang terjejas adalah Kampung Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-sadok, Sembirai, Lingkodon, Linau, Lebak Moyoh, Bobot, Suang Punggur, Menunggui, Song-song,  Karang Benai, Kota Bungan, Tawakadan, Lentigi, Tanjung Wakap, Lebak Engad, Keranjangan, Rangalau, Tombol, Siasai Tamu, Limatok, Pompod Kampung Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-sadok, Sembirai, Lingkodon, Linau, Lebak Moyoh, Bobot, Suang Punggur, Menunggui, Song-song dan Karang Benai.

“Mengikut pecahan, sebanyak 64 keluarga membabitkan 288 mangsa banjir di daerah Tuaran masih ditempatkan di PPS iaitu di Sekolah Menengah Sri Nangka dan Masjid Kampung Bunga.

“Manakala di Kota Belud, 489 keluarga membabitkan 2,101 mangsa banjir ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 1, Dewan Gopok Taginambur, Dewan Muhibah Tombol dan SMK Taun Gusi 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Taun Gusi dan Dewan SK Pekan Kota Belud,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa-mangsa banjir berkenaan dijangka dibenarkan pulang secara berperingkat ke kediaman masing-masing susulan keadaan cuaca yang beransur baik sejak tengah hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Khatizah berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 206 kes pokok tumbang dalam tempoh enam hari berikutan cuaca buruk dan angin kencang di kawasan Pantai Barat Sabah bermula 16 Oktober lalu hingga ke hari ini.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *