Bakat tak kira bangsa

Posted on

Empat jelitawan ini bukan baru dalam industri hiburan tempatan. Siapa tidak kenal dengan Thanuja Ananthan (Thanuja), Jasmine Michael (Jasmine), Pushpa Narayan (Pushpa) dan terbaru, Sangeeta Krishnasamy (Sangeeta).

Mereka berjaya mencipta nama dalam industri hiburan secara keseluruhan selepas menempatkan diri dalam hiburan Tamil tempatan sebelum ini.

Bagi Sangeeta, kejayaan pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) terpilih Pelakon Wanita Terbaik membuka mata peminat filem tempatan mengenai bakat lakonannya melalui filem Adiwiraku selain kejelitaan asli yang ada padanya.

Selepas kemenangan, Sangeeta akui ramai bakat baru industri Tamil tempatan bertanya bagaimana dia melakukannya hingga berjaya dalam industri hiburan lebih besar.

“Mereka juga bangga kerana saya pelakon Tamil tempatan pertama menang anugerah berprestij itu. Namun saya tidak lihat pujian itu pada sudut bangsa sebab saya orang Malaysia, sesiapa sahaja boleh menang asalkan berjaya menunjukkan lakonan berkesan.

“Kepada yang baru nak masuk, saya cadangkan pada mereka untuk sentiasa bersedia sebelum jadi pelakon. Ibarat nak jadi polis, kena lalui latihan. Begitu juga kalau nak masuk industri ini,” katanya.

Kata Sangeeta, pelakon perlu tahu kekuatan diri masing-masing dan dia lihat lakonan sebagai terapi untuk meluahkan isi hati. Lebih banyak watak diberikan kepadanya, lagi banyak terapi yang boleh difokuskan agar dapat diterjemahkan dalam lakonan.

Katanya, pelakon juga membawa perubahan kerana setiap momen sedih, gembira, takut dan marah mampu mengubah seseorang.

Apapun, Sangeeta menafikan dirinya melupakan industri hiburan Tamil tempatan apabila rezekinya mula meluas dalam industri hiburan utama Malaysia.

Katanya, apa yang diutamakannya ialah skrip ditawarkan bagus, dia tidak kesah tawaran daripada produksi Melayu, Cina atau India.

“Saya tiada masalah bekerja dengan sesiapa sahaja. Saya berharap jurang besar antara industri Tamil tempatan dan Melayu tempatan dapat dirapatkan agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan selepas ini,” katanya.

Kejayaan Sangeeta turut membanggakan Jasmine yang mula dikenali melalui filem Estet.

Katanya, tiada istilah cemburu dengan kejayaan Sangeeta dan juga yang lain.

“Saya melihat ia persaingan sihat antara kami. Persaingan itu bagus untuk menunjukkan progres dan kemajuan seseorang.

“Saya merindui suasana bekerja dalam produksi Melayu tempatan. Kali terakhir dua tahun lalu menjayakan sitkom dan telefilem. Selepas itu saya lebih fokus pada industri hiburan Tamil tempatan,” katanya.

Jasmine pernah mendapat tawaran berlakon filem Melayu tahun lalu tetapi disebabkan sibuk dengan beberapa acara lain, peluang itu terpaksa dilepaskan. Disebabkan sering bertembung dengan projek lain, Jasmine menganggap rezeki belum berpihak padanya ketika itu.

Namun begitu, dia bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk sertai semula dalam industri perfileman Melayu tahun ini.

“Apa sekalipun, saya tetap bangga dengan rakan-rakan lain yang sudah berjaya mencipta nama tersendiri seperti Sangeeta, Thanuja dan Pushpa.

“Kami daripada latar belakang berbeza. Misalnya Thanuja daripada pentas ratu cantik, saya pula bermula sebagai penari. Semua ada laluan sendiri untuk ke tahap seterusnya,” katanya.

Thanuja pula merancang untuk mengambil kelas lakonan di London penghujung tahun ini. Kebetulan kakaknya menetap di sana.

Katanya, dia sedar bidang lakonan sangat baru baginya tetapi disebabkan minat, dia mahu memantapkan kemahiran terlebih dulu.

Tanpa berselindung, dia bangga kerana diberi peluang berlakon dalam siri Anak Merdeka yang ditayangkan sempena sambutan kemerdekaan lalu menerusi saluran Astro First.

Katanya, ketika projek itu berlangsung, dia dalam keadaan percaya atau tidak kerana tidak sangka namanya terpilih berganding dengan pelakon dan pengarah hebat tanah air.

“Saya ambil masa hampir tiga minggu untuk menjiwai watak dan skrip kerana ia projek yang sangat besar buat saya. Agak tertekan juga ketika itu walaupun saya seorang yang sentiasa ceria.

“Watak Devi pula seorang yang sentiasa serius, kuat dan mempunyai tekanan sendiri. Jujurnya sehingga ke hari ini, jiwa Devi masih tersemat kukuh dalam diri saya,” katanya.

Dia akui hingga mati pun tidak akan dapat karakter seperti itu lagi selepas ini. Disebabkan itu dia bersyukur kerana mendapat peluang itu walaupun melalui pelbagai kecederaan sepanjang projek berlangsung.

Pushpa juga berkongsi hal sama tatkala bercakap mengenai projek drama mega Anak Merdeka. Walaupun sudah lama dalam industri hiburan tempatan sejak lewat 1990-an, Pushpa bersyukur kerana rezeki dalam bidang ini masih ada.

Katanya, disebabkan projek itu, dia rela berkorban masa dan tenaga berulang alik di antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur setiap minggu kerana mahu bahagikan masa secara adil antara kerja dan anak-anak.

“Saya juga sudah mula berjinak-jinak sebagai produser eksekutif (EP) dengan membantu anak-anak muda merealisasikan projek filem indie. Mereka mempunyai misi dan visi yang sangat bagus bagi menghasilkan filem berkualiti,” katanya.

Walaupun baru sebagai EP, dia bangga dengan cara kerja mereka yang faham dengan kehendak industri perfileman tempatan. Biarpun bajet rendah, cara pembikinan karya mereka persis filem komersial berkualiti.

Malah, dia berharap lebih ramai anak muda menonjolkan diri menghasilkan karya tempatan yang boleh dibawa ke pelbagai peringkat.

Pelakon asal Jerantut, Pahang itu tidak menolak kemungkinan untuk terus membantu bakat baru tempatan berkarya kerana idea dan semangat mereka jauh lebih baik berbanding dulu.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *