Bajet 2018 utamakan faktor pemerkasaan wanita

Posted on

KUALA LUMPUR: Bajet 2018 memberi signal jelas golongan wanita muda tidak dilupakan apabila banyak faktor pemerkasaan kaum itu yang diberi perhatian.

Ahli Dewan Negara Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata ia seiring misi mencerminkan sebuah bajet yang realistik mencangkupi semua lapisan masyarakat dan latar belakang.

Jelasnya, pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kali ini merupakan julung-julung kali memberikan fokus yang lebih mendalam kepada golongan wanita muda bagi memacu keluarga yang lebih harmoni dan berkualiti.

“Saya melihat cadangan tempoh cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta yang dinaikkan daripada 60 hari ke 90 hari seperti dilaksanakan perkhidmatan awam merupakan satu saranan yang baik dan membuktikan kerajaan tidak meminggirkan pekerja sektor swasta.

“Ia sememangnya ditunggu-tunggu golongan wanita dalam membantu membentuk dan menguruskan sesebuah keluarga dalam keadaan yang lebih baik lagi.

“Tambahan cuti ini mampu mempersiapkan wanita, khasnya yang masih bekerja, untuk lebih bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi suasana pekerjaan semula selepas cuti bersalin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

BACA: Bajet 2018: ‘Ibu segala bajet’

BACA: Bajet 2018: Ambil pembantu rumah asing tanpa melalui ejen

Inisiatif dan program berkaitan wanita dalam Bajet 2018 dilihat telah mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan golongan itu sekali gus memberikan keceriaan kepada mereka.

Beberapa inisiatif langsung dan tidak langsung dilihat mampu memberi manfaat kepada golongan wanita.

Dalam pada itu, Fahariyah menjelaskan keprihatinan kerajaan terhadap golongan wanita bekerja semakin terserlah apabila perdana menteri turut mengumumkan penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas dibenar pulang awal sejam, manakala suami yang bekerja kerajaan juga dibenar pulang awal sejam.

“Bagi saya, ini satu lagi langkah bijak dan terbaik dalam memperkasa institusi kekeluargaan.

“Saya berharap sektor swasta akan turut mengikut jejak langkah ini kerana umum tahu, wanita yang mengandung lima bulan ke atas perlukan rehat secukupnya selepas selesai menjalankan tugas dan amanah diberikan demi menjaga kesihatan diri sendiri dan kandungan selain mengelakkan insiden yang tidak diingini seperti masalah kesihatan,” ujarnya.

Katanya lagi, bajet itu juga prihatin dengan bebanan kos yang ditanggung isi rumah bagi penggajian pembantu rumah asing.

“Ia sekali gus memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.

“Saya berpendapat, langkah ini sangat membantu pihak yang memerlukan pembantu rumah dengan langkah yang mudah apabila hanya perlu memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.

“Umum tahu, pada masa ini kos keseluruhan membawa masuk setiap pembantu rumah boleh mencecah setinggi RM12,000 sehingga RM18,000. Melalui pengumuman terbaru ini, kos kewangan untuk menggaji pembantu rumah dapat dikurangkan dan wang itu dapat digunakan untuk keperluan lain,” tegasnya.

Jelasnya, bajet kali ini juga dapat membentuk masyarakat yang lebih lestari dan lebih mementingkan soal kewangan dalam membentuk sesebuah keluarga yang lebih bertamadun dan berdaya saing.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *