Bajet 2018: ‘Ibu segala bajet’

Posted on

KUALA LUMPUR: Berdasarkan indeks ekonomi Malaysia yang kukuh, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2018 yang beliau sifatkan sebagai ‘Ibu Segala Bajet’, yang komprehensif dengan pengumuman pelbagai insentif dan ganjaran untuk setiap golongan rakyat.

Perdana Menteri berkata bajet sejumlah RM280.25 bilion itu mengambil hitung seawal kepentingan bayi dalam kandungan sehinggalah kepada agenda-agenda untuk masa hadapan negara.

Antara lain, bajet kali memanfaatkan golongan petani, pesawah, nelayan, pemandu teksi, peneroka Felda, penjawat awam dan pesara, pengguna lebuh raya, masyarakat Cina dan India, tok batin, belia dan pelajar.

“Inilah… belanjawan yang tidak pernah diperucapkan sedemikiannya, semenjak saya ambil alih tampuk kepimpinan negara ini kerana ia bersifat holistik dan sarat dengan falsafah,” kata Najib di Dewan Rakyat dalam ucapan bajet kira-kira dua jam setengah bertemakan ‘ Memakmur ekonomi Yang Inklusif. Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50’.

KLIK UNTUK LIPUTAN LEBIH LANJUT BAJET 2017

Menurut Najib, sejak lapan tahun lalu beliau terpaksa membuat keputusan sukar dengan memberi fokus kepada inisiatif ekonomi sebagai agenda transformasi negara.

Antara hasilnya, rizab antarabangsa negara kini mencatat RM428.7 bilion berbanding RM59.1 bilion semasa kegawatan ekonomi 1997.

Najib berkata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti menjadi penyelamat kepada ekonomi negara.

Katanya, pelaksanaan GST adalah langkah berani yang diambil kerajaan yang akhirnya terbukti kebenarannya.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, pihak pembangkang sampai hari ini tidak sepakat sama ada menerima GST atau tidak dan kadang kala bercakap mahu memperkenalkan semula sistem SST (Sales and Services Tax).

Katanya, tanpa kutipan GST sebanyak RM41 bilion, tidak dapat dibayangkan bagaimana negara boleh menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat.

Najib membidas sikap pembangkang yang tidak konsisten dan ‘asyik-asyik U-turn’ apabila mereka bercakap mengenai program dan insentif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

“Apa yang kita sering dengar, asyik-asyik U-turn,… asyik-asyik U-turn… and more u-turn, sehingga segalanya membuat pemikiran rakyat dikeliru, didamak dan diracuni,” katanya.

Beliau berkata pembangkang juga berbelah bahagi berhubung program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pinjaman PTPTN dan subsidi minyak apabila adakalanya mereka menyokong dan kadang-kadang bercadang menghapuskannya.

Keseluruhannya, Bajet 2018 menyenaraikan 233 insentif dan program di bawah lapan pe-tunjang.

Program-program tersebut, menurut Najib, adalah untuk dinikmati seluruh rakyat Malaysia tercinta, tidak kira apa jua, kaum, bangsa dan latar keturunan.

Kumpulan sasar termasuk bayi yang bakal dilahirkan mulai 1 Januari depan hingga 2022 yang dihadiahkan tabungan permulaan sebanyak RM200 melalui skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau ADAM50.

Bagi menangani isu kos sara hidup, antara lain bajet kali ini menurunkan kadar cukai pendapatan bagi 2.3 juta pembayar cukai terutama golongan pendapatan pertengahan M40.

Langkah ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna antara RM300 hingga RM1,000 manakala 261,000 orang kini tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.

Bajet juga memperuntukkan RM3.9 bilion subsidi barangan dan pengangkutan, termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.

Kedai Rakyat 1Malaysia pula distruktur semula menjadi KRIM 2.0 yang menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan gas petroleum cecair (LPG), di samping 50 jenis barangan pengguna berjenama dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Berita gembira seterusnya oleh Najib ialah pemansuhan kutipan tol di empat lokasi iaitu di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor; di Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan di Eastern Dispersal Link (EDL), Johor.

Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk bantuan haemodialisis dengan subsidi RM100 daripada keseluruhan RM110 setiap sesi rawatan.

“Maknanya, mulai 2018, pesakit berdaftar hanya membayar RM10 sahaja bagi setiap sesi rawatan,” kata Najib.

Pemandu teksi pula diperuntukkan geran RM5,000 kepada mereka yang membeli kereta baharu.

Dengan pengumuman bajet tersebut, Perdana Menteri berharap rakyat dapat menghakimi dengan bijak dan terus ‘ bersatu hati dengan kerajaan’, demi masa depan Malaysia yang cerah.

“Bila rakyat dan kerajaan menjadi satu, barulah negara gagah perkasa…,,” katanya.

— BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *