‘Ayah, ibu, saya nak jumpa…’

Posted on

“MENITIS air mata saya apabila mendapat tahu saya dijumpai di perhentian bas. Bagaimanapun, pasti ada sebab mengapa ibu bapa kandung saya buat begitu,” kata Mohamad Putera Zainuddin, 21, yang tular di media sosial selepas memuat naik keratan akhbar mengenai dia ditinggalkan di perhentian bas di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan pada 23 September 1996 ketika berusia 10 hari.

Menurut Mohamad Putera, dia tergerak hati untuk mencari ibu dan bapa kandungnya sebelum ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan pada Jun lalu.

“Keluarga angkat mengambil saya sebagai anak angkat sejak saya berusia sembilan bulan lagi. Ibu bapa angkat saya memang berterus-terang memberitahu saya adalah anak angkat sejak di tadika lagi.

“Saya boleh menerima kenyataan itu,” katanya yang juga anak tunggal dalam keluarga angkatnya itu.

Mohamad Putera yang dibesarkan di Muar, Johor berkata, jauh di sudut hatinya dia ingin mengetahui sama ada kedua ibu bapanya masih hidup.

“Saya kembali ke Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah untuk membuka semula fail saya bagi mendapatkan petunjuk lokasi tempat tinggal ibu bapa saya.

“Bagaimanapun, kakitangan rumah kanak-kanak itu hanya menyerahkan fail sebelum meminta saya baca sendiri,” katanya yang juga penuntut Diploma Pembantu Perubatan di kolej di Seremban, Negeri Sembilan.

Menurutnya, luluh hatinya apabila membaca artikel di keratan akhbar yang disimpan di dalam buku rekod berkenaan.

“Saya ingat akan jumpa keluarga kandung dengan mudah sebaik melihat rekod berkenaan, namun sangkaan saya meleset.

“Tak sangka, saya dijumpai di perhentian bas oleh seorang bidan kampung atau kini dikenali jururawat masyarakat ketika berusia 10 hari,” katanya.

Menurut Mohamad Putera, dia tidak pernah menyalahkan ibu bapanya, malah akan berusaha mencari keluarga kandungnya itu.

“Mereka (ibu bapa kandung) tinggalkan saya dapat keadaan baik, lengkap berselimut, sarung tangan serta sarung kaki bayi dan baju yang comel.

“Mesti mereka menantikan kelahiran saya dan pasti ada sebab mereka lakukan begitu,” katanya.

Mohamad Putera berkata, jika tidak dapat mencari ibu bapa kandung sekurang-kurangnya dia ingin bertemu dengan bidan kampung itu.

“Jika bukan kerana wanita itu jumpa saya, tidak tahu sama ada saya masih hidup atau tidak,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *