‘Awak cari rumah lain’

Posted on

“DALAM dua tiga empat hari ini awak carilah rumah lain, sebab apa, sebab busuk nama kampung saya, busuk nama saya, adik beradik pun jadi marah,” tegas Milah, 57, yang juga pemilik rumah sewa yang didiami ibu tunggal Mazuin Jasmi bersama enam anak yang masih kecil.

Kata dua itu diberikan ketika wartawan dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) Melaka mengunjungi Mazuin di kediamannya di Alor Gajah hari ini.

Milah yang kecewa dengan tindakan pihak yang menularkan rumah itu di laman sosial berkata: “Saya tak marahkan rezeki yang awak terima tetapi kenapa ‘viralkan’ rumah saya ini sampai begini.”

Dia dikatakan bertindak demikian kerana tidak tahan menerima kritikan masyarakat kononnya tergamak menyewakan rumah yang serba daif kepada ibu tunggal berkenaan.

Bagaimanapun setelah ditenangkan wartawan dan pegawai JKM, wanita itu bersetuju memberi tempoh sehingga akhir bulan ini kepada ibu tunggal enam anak itu berpindah.

Ibu tunggal yang menyewa di Kampung Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru di Alor Gajah itu terpaksa meninggalkan enam anaknya berusia antara tujuh bulan hingga 14 tahun di rumah kerana mencari nafkah sebagai pembantu kedai makan di kawasan berhampiran.

Dia tidak menyangka kisah hidupnya yang baru dua bulan mendiami rumah itu tular apabila dikunjungi sekumpulan penyumbang yang tidak dikenali semalam.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *