Annuar nafi terlibat proses rundingan UniKL, PMB, The Red Warriors

Posted on

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak terlibat dalam rundingan pembelian pakej komersial membabitkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan Mara Bhd (PMB) dengan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Annuar, yang dinasihatkan bercuti sebagai Pengerusi Mara dan PMB sejak Januari lepas berkata keputusan pembelian pakej komersial sebanyak RM500,000 oleh UniKL dan RM200,000 oleh PMB dibuat di peringkat pentadbiran tanpa merujuk kepadanya.

“Proses rundingan dijalankan secara komersial tanpa melibatkan saya. Saya tidak pernah mengarah sesiapa pun untuk menggunakan dana tersebut.

“Dakwaan saya paksa guna duit dana pendidikan Mara untuk bantu pasukan bola Kelantan, itu fitnah totok,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan berhubung beberapa isu agensi berkenaan kepada Audit Dalaman Mara, di Ibu Pejabat Mara, di sini hari ini.

Beliau berkata sesi memberi keterangan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Mara, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin itu bermula pada 11 pagi dan berlangsung selama satu jam.

Katanya, malahan nilai pakej komersial terhadap TRW yang dibeli oleh UniKL dan PMB jauh lebih rendah berbanding nilai yang dikenakan terhadap syarikat lain. –BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *