Alhamdulillah, semua selamat [METROTV]

Posted on

SERAMAI 15 penghuni termasuk dua warden Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran (ATIQ), Bukit Lanchong, Shah Alam, terselamat selepas sebuah bilik asrama di tingkat dua bangunan itu terbakar malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, 13 pelajar berusia antara sembilan hingga 13 tahun sedang mengaji al-Quran di tingkat bawah bersama seorang ustaz yang juga warden mereka.

Penghuni yang juga saksi kejadian, Muhammad Farhan Muzabfar, 14, berkata ketika mengaji selepas solat Maghrib itu, seorang daripada mereka yang ke tandas terhidu asap dan melihat api marak di tingkat dua.

“Terkejut melihat api, dia segera memaklumkan kepada kami dan ustaz supaya segera menyelamatkan diri.

“Kami keluar dari bangunan tiga tingkat itu dan menghubungi bomba,” katanya di tempat kejadian.

Menurutnya, beberapa pelajar cuba memadam kebakaran namun gagal berikutan api terlalu marak.

Warden ATIQ, Mohd Khairul Ni’mat Doll Kawaid, berkata pusat berkenaan mematuhi peraturan ditetapkan kerana mempunyai alat pemadam api dan tangga atau laluan kecemasan.

“Bagaimanapun, kejadian berlaku agak pantas dan kami tidak mampu berbuat apa-apa. Nasib baik kebakaran tidak merebak ke bilik lain,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, sepasukan 14 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.28 malam.

“Kita berjaya mengawal kebakaran bilik berkeluasan 83 meter persegi itu yang merangkumi 20 peratus bilik asrama pusat terbabit.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *