“Alhamdulillah, jurusolek itu sudah mengakui kesilapannya dan memohon maaf dengan apa yang berlaku serta memulangkan semula bayaran solekan.

Posted on

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, jurusolek itu sudah mengakui kesilapannya dan memohon maaf dengan apa yang berlaku serta memulangkan semula bayaran solekan.

“Cuma perkara yang membuatkan saya terkilan kerana majlis perkahwinan tidak sempurna seperti apa yang saya rancang sebelum ini,”

Demikian luahan pengantin baru, Nurul Hidayah Rosli, 27, yang terpaksa menghilangkan diri sementara waktu kerana malu selepas solekan di wajahnya tidak menjadi angkara jurusolek pada majlis perkahwinannya di Dewan Kompleks Kakitangan Brickfields, 15 April lalu.

Gambar wajahnya dengan solekan yang menampakkan kesan tompok putih di bahagian hidung, dahi, dagu dan kedua-dua pipinya itu turut tular di laman sosial, baru-baru ini.

Nurul Hidayah berkata, dia tidak menyangka perkara seperti itu berlaku terhadap dirinya pada hari yang cukup bersejarah itu.

“Saya menempah pakej perkahwinan kira-kira enam bulan lalu sebelum majlis perkahwinan saya berlangsung dengan harga lebih RM10 ribu.

“Pakej berkenaan meliputi keseluruhan pengurusan dan perancangan majlis termasuk jurusolek namun jurusolek pengantin hanya menghubungi saya kira-kira tiga hari sebelum majlis berlangsung,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya yang juga jurutera di syarikat swasta di ibu negara, selepas jurusolek itu mengenakan solekan pada wajahnya dia terus memberi alasan untuk pulang berikutan ada perkara yang perlu diselesaikan segera.

“Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah apabila saya turun ke dewan untuk bersanding, seorang rakan yang mahu mengambil gambar bersama saya memaklumkan solekan saya nampak tidak sekata dan rosak.

“Saya kemudiannya melihat gambar berkenaan dan terkejut melihat wajah saya sendiri,” katanya.

Katanya, dia terus bergegas ke surau dewan dan meninggalkan majlis buat sementara waktu berikutan malu dengan suami, rakan dan jemputan yang hadir bagi meraikan majlis perkahwinannya.

“Hampir lebih 30 minit juga saya berada di surau itu untuk menanggalkan solekan berkenaan. Mujur ada rakan yang bersimpati dan membantu mengenakan solekan yang lebih baik.

“Ia umpama mimpi ngeri apabila wajah saya diberi solekan yang tidak sewajarnya,” katanya.

Katanya, beberapa hari selepas itu dia memuat naik gambarnya di Facebook miliknya menggunakan nama Nurul Hidayah supaya menjadi pengajaran kepada orang lain.

“Ketika memuatnaik gambar itu saya turut memohon maaf kepada rakan dan jemputan yang hadir sekiranya pada hari berkenaan ketika majlis perkahwinan saya sedang berlangsung, saya hilang buat sementara waktu,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *