Afifah lupakan kisah silam

Posted on

Apa yang berlaku biarlah berlalu kerana kehidupan harus diteruskan. Itulah kata-kata perangsang digenggam pelakon Afifah Nasir, 24, selepas terpalit kontroversi didakwa mengganggu rumah tangga Aliff Aziz.

Insiden diserang isteri Aliff, Bella Astillah di pusat karaoke kemudian rakaman video Afifah dan Aliff berpegang tangan tersebar sehingga menjadi isu sensasi, sudah lama berlalu.

Permasalahan timbul juga dianggap tamat sebaik saja penggambaran drama bersiri Izinkan Aku Mencintaimu dijayakan Afifah bersama Aliff selesai.

Afifah atau Nur Afifah Md Nasir kini menjalani hidup seperti biasa dan sibuk di lokasi drama terbaru lakonannya, Syurga Yang Kedua.

Ternyata kontroversi yang timbul langsung tidak memberi kesan kepada kerjaya seninya mahupun kehidupan peribadi.

Bagi Afifah, apa yang berlaku dianggap sebagai satu pengajaran yang mematangkan diri untuk berdepan dengan ‘sepak terajang’ dunia seni.

Afifah akui pada awal kontroversi itu timbul dan diperbesar-besarkan, dia berasa terganggu tetapi lega apabila selesai saja penggambaran drama menggandingkan mereka berdua.

“Alhamdulillah sebaik saja penggambaran drama itu selesai, saya tidak ada apa-apa lagi kaitan dengan Aliff. Semuanya sudah menjadi seperti biasa.

“Dalam waktu sama memang ada yang masih lagi membicarakannya tetapi pada saya ia tidak memberikan apa-apa kesan kerana saya sudah lama ‘move on’,” katanya.

Walaupun terus dikecam netizen sehingga ada saja dakwaan berbau tidak puas hati ditulis umum di media sosial, Afifah akui sekarang dia menerima lebih banyak komen positif berbanding negatif.

“Sebagai anak seni, satu perkara yang saya belajar ialah tidak semua orang suka kita. Lebih besar kelompok yang mengenali seseorang artis itu, lebih besar juga jumlah orang yang tidak menyukai.

“Saya juga perasan orang yang tidak menyukai seseorang selebriti atau artis ini mereka memang suka mencari kesalahan dan keburukan.

“Tidak pernah ada yang baik di mata mereka sama ada yang baik dan yang buruk lagilah menjadi punca kecaman mereka,” katanya.

Afifah juga tidak menafikan kontroversi yang timbul menyebabkan dia rasa kesal kerana sepanjang tahun pertama menjadi anak seni perjalanannya dipermudahkan.

“Bagaimanapun, atas nasihat kakak dan teman-teman perasaan kesal itu hilang. Ini adalah perkara yang perlu saya hadapi sebagai anak seni dan saya tidak mahu berputus asa disebabkan kontroversi itu.

“Semangat saya datang kembali apabila sebahagian besar peminat terus memberi kata-kata perangsang terutama apabila ada yang memuji membabitkan lakonan saya,” katanya.

Kata Afifah, pada peringkat awal menyertai dunia lakonan dia hanya mahu mencuba dan merasai seperti apa yang dilakukan kakaknya, Anzalna.

“Saya bermula dengan watak kecil, tidak sangka pula ia mendapat maklum balas positif dan tawaran terus datang.

“Ada penerbit dan pengarah senang dengan hasil kerja saya dan itu menjadi antara pembakar semangat untuk saya teruskan kerjaya sebagai pelakon.

“Kemudian saya mula ditawarkan watak yang lebih menarik dan selepas setahun saya semakin cintakan dunia lakonan.

“Rasa cinta itu juga yang menguatkan diri saya untuk terus berdepan dengan kontroversi timbul dan terus berjuang dalam bidang seni,” katanya.

Afifah menyimpan impian untuk membuktikan kemampuannya dengan mengasah bakat yang ada. Malah pelakon berwajah manis ini tahu untuk menjadi pelakon yang bagus dia harus bekerja keras.

“Saya tidak ada pendidikan khusus dalam dunia lakonan dan segalanya saya belajar daripada pengalaman. Pengalaman itu yang membuatkan cinta saya pada seni bertambah dan mendalam.

“Impian saya sekarang untuk menggenggam trofi pelakon wanita terbaik. Andai itu dapat saya capai, saya boleh menarik nafas lega dan membisikkan pada hati segala apa yang saya lalui walaupun pahit ia ternyata satu perjuangan sangat berbaloi,” katanya.

Perang dingin dengan Bella?

Walaupun kontroversi antara Afifah, Aliff dan Bella sudah berakhir, bagi yang mengikuti perkembangan mereka pasti sedar wujud perang dingin antara dua individu ini.

Mereka dikatakan sering menyindir antara satu sama lain menerusi laman sosial Instagram dan perkara itu turut dimuat naik beberapa portal berita hiburan tempatan.

Kata Afifah, dia memang tidak pernah mempunyai niat untuk menyindir sesiapa apabila memuat naik gambar mahupun status.

“Cuma apabila perkara itu ditimbulkan hinggakan ada protal berita hiburan menggunakannya dan menjadikan ia bahan, saya mula sedar yang orang keliling sekarang ini sering saja melihat gerak geri saya dan menilai apa yang saya lakukan.

“Ada orang menerima apa saja komen, status dan gambar yang saya muat naik dengan positif dan dalam waktu sama ada pihak yang sudah menyalah tafsir,” katanya.

Kini kata Afifah, dia harus berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil atau melakukan sesuatu kerana takut ia menjadi salah faham kepada pihak lain.

“Sekarang kalau hendak muat naik kapsyen pada setiap gambar di laman media sosial, saya juga harus tapis terlebih dulu. Saya kena berhati-hati.

“Saya tegaskan bahawa apa yang saya lakukan iaitu memuat naik gambar dan siap penerangan di laman sosial saya, tidak ditujukan kepada sesiapa dan tidak mempunyai sebarang niat, apatah lagi niat jahat. Bagaimanapun, saya tidak boleh menelah tanggapan orang menyebabkan jalan terbaik yang perlu saya ambil adalah berjaga-jaga,” katanya.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *