Ada berani?

Posted on

“HANYA penggemar RXZ sahaja yang tahu nilai sebenar motosikal itu. Harga RM35,000 bagi mereka itu bukan luar biasa,” kata pembantu bengkel dan kedai alat ganti motosikal yang menawarkan RXZ Catalyzer baru yang belum berdaftar pada harga permulaan RM35,000 di Temerloh, Pahang.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Jay, 38, memuat naik status tawaran motosikal itu di laman sosial Facebook pada Rabu lalu dan ia dikongsi oleh penggemar motosikal sebelum tular.

Jay berkata, harga itu tidak keterlaluan kerana motosikal berkenaan dianggap sebagai legenda sepanjang zaman yang sudah tidak dapat diperolehi dalam kondisi yang baru.

Katanya, harga itu masih berpatutan kerana terdapat RXZ yang dijual dengan harga yang lebih mahal daripada itu meskipun ianya kenderaan terpakai.

“Motosikal ini lebih enam tahun tersimpan dalam stor dan tidak pernah dipakai lagi. Ia masih dikira sebagai baru dan belum didaftar lagi. Hanya tinggal sebuah sahaja, bermakna ia barang yang bernilai tinggi.

“Saya tidak ambil untung banyak, saya faham penggemar RXZ sudah banyak menghabiskan duit mereka untuk penjagaan motosikal ini sehingga boleh membeli sebuah kereta.

“Tetapi harga ini untuk menampung semula kos sewa stor menyimpan motosikal berkenaan. Bayangkan ia sudah bertahun-tahun, nilainya adalah besar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Jay, dia tidak kisah dengan reaksi negatif dari netizen di Facebook yang mempertikaikan keaslian motosikal itu dan hanya menumpukan rundingan dengan pembeli yang serius.

“Mereka mahu pertikai pun tidak mengapa, saya tidak rugi apa-apa. Motor itu lebih tinggi harganya pada masa akan datang. Saya hanya melayan orang yang serius sahaja.

“Setakat ini saya masih berbincang dengan beberapa individu yang membida harga motosikal berkenaan. Harga muktamad masih belum diputuskan lagi,” katanya.

Penggemar RXZ wanita, Farhah Aimuni Ahmad Fauzi, 19, berkata, nilai itu masih logik akal kerana motosikal berkenaan kini adalah terhad serta mempunyai keistimewaan tersendiri bagi penggemar motosikal.

“Kami sebagai pemilik RXZ juga pernah ditawarkan dengan harga sehingga RM42,000 oleh penggemar motosikal ini meskipun ianya terpakai namun saya masih belum pasti ianya sudah terjual atau tidak.

“Bukan itu sahaja, ada juga yang sanggup mencuri motosikal ini kerana gilakan RXZ termasuk motor saya sendiri yang dicuri pada tahun lalu,” katanya yang pernah menjadi tular sebagai gadis berpurdah menunggang RXZ.

Menurutnya, pelbagai jenis RXZ menjadi kegilaan penggemar motosikal antaranya Catalyzer, Millenium, Energy, 5 Speed dan Bosh yang dianggap sebagai legenda bagi ‘budak motor’ sekitar tahun 1990-an.

Keterangan Gambar

Pix : Motosikal RXZ Catalyzer yang tular di Facebook.

tamat

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *