ABM Jamin Tiada Pelanggaran Keselamatan

Posted on

KUALA LUMPUR – Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM)  memberi jaminan kepada pelanggan bank bahawa tidak berlaku pelanggaran keselamatan di bank-bank ahlinya dan data pelanggan tidak terjejas.

Merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkaitan dengan laman web beberapa persatuan yang telah digodam, ABM berkata industri perbankan perdagangan memandang serius isu keselamatan siber dan sentiasa berjaga-jaga dalam menangani risiko berkaitan dengannya.  

“Usaha terus diambil untuk memastikan kawalan yang sesuai dilaksanakan mengikut amalan terbaik yang melibatkan pemeriksaan menyeluruh dan mekanisme seimbang dengan pemantauan urus niaga tepat pada masa,” kata ABM dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Pelanggan bank dinasihatkan melaporkan kepada bank-bank mereka dengan segera sekiranya mereka mengesyaki data mereka mungkin telah terjejas. 

Pelanggan yang juga pengguna perbankan dalam talian yang aktif juga dinasihatkan menukarkan kata laluan mereka dengan kerap dan tidak membuka atau mengklik mel dan pautan yang tidak diminta dengan atau tanpa lampiran. 

Mereka juga perlu memastikan perisian anti-virus/anti-malware mereka dikemas kini dan berfungsi dengan baik.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk menghubungi ABM di ABMConnect di talian 1-300-88- 9980 bagi sebarang pertanyaan atau bantuan, kata persatuan itu. – BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *