75 Tahun Beku Di Alps

Posted on

MAYAT suami isteri yang dilaporkan hilang 75 tahun lalu akhirnya ditemui di glasier di Alps di Switzerland.

Marcelin dan Francine Dumoulin telah pergi ke padang di Chandolin di Valais untuk memberi makanan kepada lembu sebelum hilang pada 15 Ogos 1942.

Marcelin yang berusia 40 tahun ketika itu, bekerja sebagai tukang kasut manakala, Francine, 37, seorang guru.

Mereka meninggalkan lima anak lelaki dan dua anak perempuan.

Dalam kenyataan malam tadi, polis Valais berkata, dua mayat dengan kertas pengenalan ditemui pada ketinggian 2,615 meter, 13 Julai lalu oleh pekerja resort ski Les Diablerets di glasier Tsanfleuron berhampiran resort itu.

Sebahagian mayat itu tenggelam di dalam lubang dalam ais. Ujian DNA dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan identiti pasangan itu.

Sementara itu, pengarah syarikat kereta kabel Glacier 3000, Bernhard Tschannen berkata, mayat itu ditemui baring bersebelahan.

“Mayat seorang lelaki dan seorang wanita itu berpakaian zaman Perang Dunia Kedua dan dipelihara sempurna di glasier bersama beg galas, botol, buku dan jam tangan.

“Mereka mungkin terjatuh ke dalam celah dan kekal di situ sehingga kini. Apabila glasier menyusut, ia mendedahkan mayat mereka,” katanya kepada akhbar Tribune de Geneve.

Sementara itu, anak perempuan bongsu pasangan itu, Marceline Udry-Dumoulin, 79, berkata, penemuan itu akhirnya memberikan ketenangan kepadanya.

“Kami mencari mereka sepanjang kehidupan tanpa henti dengan harapan dapat memberi pengebumian yang sewajarnya satu hari nanti,” katanya kepada akhbar Le Matin.

“Ia kali pertama ibu mengikuti ayah untuk kerja itu. Sebelum ini dia sentiasa hamil dan tidak dapat memanjat glasier.

“Selepas hilang, saya dan adik beradik dipisahkan dan dijaga keluarga lain. Saya bernasib baik ditempatkan dengan ibu saudara.

“Walaupun kami tinggal di kawasan sama, kami terputus hubungan,” katanya.

Pasangan itu antara 280 individu yang dilaporkan hilang di Alps atau sungai Valais sejak 1925.

Ketua perubatan forensik bagi kawasan itu, Bettina Schrag memberitahu stesen radio Switzerland, RTS, mereka menjangka lebih banyak penemuan lain dengan penyusutan glasier semasa. – Reuters/myMetro Online

[embedded content]

Loading…

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *