7 Rahsia Jadikan Sir Alex Ferguson Pengurus Bola Sepak Inggeris Terhebat

Posted on
7 Rahsia Jadikan Sir Alex Ferguson Pengurus Bola Sepak Inggeris Terhebat

Sir Alex Ferguson sentiasa mahukan kemenangan diperolehi pasukannya dengan cara penuh bergaya. (Gambar: Manchester United & GiveMeSport – Facebook)

Setelah dua bulan berehat, akhirnya penantian para peminat sukan bola sepak Eropah akan berakhir awal pagi esok. Pada jam 2.30 pagi waktu tempatan, dua kelab bola sepak gergasi dunia iaitu Real Madrid dari Sepanyol dan Manchester United dari England bakal bertemu di Stadium Phillip II Arena, Macedonia bagi merebut Piala Super UEFA.

Piala yang menjadi pembuka tirai bagi bola sepak benua Eropah itu bakal menemukan johan Liga Juara-Juara Eropah musim lepas, Real Madrid dengan johan Liga Europa UEFA musim lepas, Manchester United.

Bagi ramai pengulas bolasepak Inggeris, seandainya Manchester United berjaya membawa pulang kejuaraan pada pagi esok, ianya adalah petanda baik buat pasukan kendalian Jose Mourinho itu. Ia bakal membantu mereka menghampiri zaman kegemilangan sepertimana dikecapi semasa di bawah kendalian bekas pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.

Sir Alex Ferguson sentiasa menyesuaikan dirinya dengan peredaran zaman.

KEHEBATAN SEORANG LEGENDA

Dengan sejumlah 38 piala yang berjaya dimenangi Ferguson semasa memimpin kelab yang mendapat jolokan “setan merah” itu, statusnya sebagai seorang ‘legenda’ tidak perlu dipertikaikan lagi. Beliau sememangnya sudah diiktiraf ramai sebagai pengurus bola sepak terhebat dalam sejarah Liga Inggeris.

Namun, apakah ciri-ciri yang membuatkan Ferguson berjaya? Rahsia pengurus terkemuka ini telah dibongkar oleh Rene Meulensteen di dalam suatu temuramah bersama portal Training Ground Guru baru-baru ini.

Meulensteen merupakan bekas pembantu Ferguson di kelab tersebut selama enam tahun dan dia berkongsi tujuh ciri-ciri unik yang dimiliki bintang legenda itu. Dalam tempoh kerjasama Ferguson dengan Meulensteen, Manchester United berjaya memenangi empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris, satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dan satu Piala Dunia Kelab.

Berikut 7 rahsia atau sifat Ferguson yang menjadikannya seorang pengurus bola sepak yang hebat di peringkat antarabangsa:

1. VISI JELAS

Matlamat utama yang ingin dicapai Ferguson bukanlah untuk meraih kemenangan semata-mata buat pasukannya. Sebaliknya, beliau mahukan kemenangan itu diperolehi dengan cara yang penuh bergaya.

“Saya masih ingat lagi ketika beliau mula-mula memanggil saya masuk ke dalam biliknya. Masa itu saya baru sahaja dilantik sebagai jurulatih bagi pasukan utama. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak perlu arahkan saya bagaimana untuk kendalikan sesi latihan kerana cuma mahu melihat hasilnya.

“Sebagai contoh, menyimpan bola bagi suatu pasukan sememangnya penting tetapi yang lebih utama ialah menyimpan bola dengan mempunyai tujuan yang berkesan. Apabila pasukan melakukan serangan, mereka perlu mempunyai kepantasan, kekuatan, penembusan dan ketidakpastian. Empat elemen tersebut perlu diterapkan setiap kali pasukan menjalani sesi latihan,” katanya.

Ferguson juga mempunyai visi membantu pemain-pemain muda dengan membuka peluang seluas-luasnya kepada bakat-bakat yang diasah pihak akademi bola sepak Manchester United. Atas faktor itu, kita dapat melihat pasukan utama ‘setan merah’ ini seringkali mempamerkan pemain yang sudah bersama dengan kelab itu sejak usia muda lagi.

Ferguson bersama salah seorang pemain kebanggaan Machester United, Eric Cantona.

2. PEMBAHAGIAN TUGAS

Di sebalik tanggapan Ferguson merupakan individu paling berkuasa di kelab yang berpangkalan di Old Trafford, beliau seringkali membahagi-bahagikan bebanan tugas mengikut kepakaran. Beliau melantik pegawai untuk bertanggungjawab ke atas setiap aspek yang diperlukan oleh pasukan, dari sudut teknikal sehingga kepada segi perubatan, kecergasan, analisis dan lain-lain lagi. 

Walaupun beliau memantau dan mengawal segala-galanya, beliau telah memberikan kebebasan kepada setiap pegawai dalam melakukan tugasan masing-masing.

3. PERSEKITARAN KERJA TERBAIK

“Ada sesuatu yang saya cuma sedar sesudah saya meninggalkan kelab. Sepanjang enam tahun saya berkerja dengan Ferguson, saya tidak pernah rasa tertekan dengan kerja,” ujar Meulensteen.

Menurutnya, seorang pengurus yang hebat mampu membuatkan pekerjanya berasa selesa. Apabila seseorang itu berkerja dengan rasa selesa dan tanpa tekanan, beliau mampu memberikan prestasi yang terbaik.

4. SESUAIKAN DIRI

Sudah menjadi lumrah kehidupan bahawa perubahan sentiasa sahaja berlaku. Begitu juga dengan dunia bola sepak. Uniknya, Ferguson sentiasa sahaja menyesuaikan dirinya dengan peredaran zaman. Sebagai contoh, sepanjang 39 tahun kerjayanya sebagai seorang pengurus bola sepak, banyak perkembangan teknologi berlaku antaranya analisis video, sistem Prozone dan kegunaan laptop semasa sesi latihan pasukan.

Ferguson bukan sahaja tidak gerun dengan perubahan teknologi tersebut tetapi menjadikannya sebagai kelebihan buat pasukan.

“Sekiranya jurulatih yang lebih muda seperti saya atau jurulatih kecergasan Tony Strudwick datang kepadanya dengan idea yang baru dan bernas, beliau sentiasa sahaja bersedia untuk mendengar dan menilai idea tersebut,” ujar Meulensteen.

Ferguson sentiasa berani membuat keputusan termasuk menggugurkan pemain-pemain yang berstatus bintang.

5. BUAT KEPUTUSAN TEGAS

Sekiranya suatu tindakan yang sukar perlu diambil, Ferguson akan sentiasa melakukannya. Ini kerana beliau meletakkan kepentingan sesebuah pasukan melebihi segala-galanya. Dalam tempoh kariernya yang panjang, kita seringkali boleh melihat tindakannya yang sentiasa berani menggugurkan pemain-pemain yang berstatus bintang.

Malah, beliau juga tidak ragu-ragu untuk menjual mereka kepada kelab lain jika perlu. Baginya tiada pemain ataupun individu yang lebih penting daripada Manchester United.

6. KEYAKINAN JITU

“Ferguson selalu mengingatkan para jurulatih bahawa pendekatan yang diamalkan Manchester United adalah 75/25. Maksudnya, 75 peratus tumpuan dan persediaan adalah terhadap diri dan pasukan sendiri manakala hanya 25 peratus berkisar kepada pasukan lawan,” ujar jurulatih berbangsa Belanda ini.

Mentaliti yang sebegini sebenarnya mempamerkan keyakinan jitu dan utuh yang dimiliki Ferguson terhadap pasukan bimbingannya. Kebiasaannya pasukan lawan akan turut terasa aura keyakinan ini dan mereka pula yang akan merasa gementar.

7. LUCU

Ramai yang beranggapan bahawa suasana bekerja di bawah Ferguson adalah sesuatu yang agak sukar dan mempunyai suasana tekananan yang tinggi. Meulensteen bagaimanapun mengatakan ini adalah tanggapan yang salah. Sebaliknya, bekerja di bawah pengurus kelahiran Scotland itu merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Sesuatu yang agak ketara mengenai pengalaman saya di Manchester United adalah kami sentiasa ketawa. Malah, kami ketawa dengan banyak setiap hari. Ferguson sebenarnya adalah seorang yang sangat melucukan,” terang Meulensteen.

Tambahnya, sifat semula jadi Ferguson itu menimbulkan suasana yang ceria dan menyeronakkan setiap hari di Old Trafford dan ianya turut dirasai oleh para pemain. Menerusi 7 rahsia tersebut bersama pencapaian yang dikecapi bersama Manchester United, bukankah ia membuktikan Ferguson sememangnya hebat dan layak digelar antara legenda dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *