55 saksi untuk sesi pendengaran awam kes kematian Balamurugan – EAIC

Posted on

PUTRAJAYA: Sebanyak 55 saksi akan dipanggil dalam empat sesi pendengaran awam Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung kes kematian tahanan di dalam lokap polis, S.Balamurugan pada 17 Feb lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.

Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata sesi pendengaran awam itu ditetapkan pada 15 hingga 19 Mei; 5 -9 Jun; 10-14 Julai; dan 24 -28 Julai di Bilik Pendengaran EAIC, Aras 11, Bangunan Menara Usahawan, Presint 2 di sini dari 9 pagi hingga 4.30 petang.

Beliau berkata pihak EAIC akan memanjangkan jemputan kepada keluarga tahanan (si mati), Polis Diraja Malaysia, Majlis Peguam Malaysia, Suhakam, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkepentingan selaras dengan Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 .

“Pendengaran awam ini yang akan diketuai oleh saya dan beberapa pesuruhjaya yang lain merupakan lanjutan daripada siasatan awal pasukan petugas EAIC bagi mengesan sama ada terdapat salah laku dalam kes yang melibatkan kematian S.Balamurugan semasa dalam tahanan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Balamurugan, 44, ditemui mati di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada 8 Feb lepas. — BERNAMA

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *