3 Anggota Renjer Thai Nyaris Maut Serangan Bom

Posted on

NARATHIWAT – Tiga anggota renjer Thai nyaris maut apabila kenderaan kalis peluru mereka terkena letupan bom buatan sendiri di Kampung Repat, Chanet di wilayah Narathiwat hari ini.

Ketua Polis Chanet Kol Somchai Nilapech berkata, kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan semasa ketiga-tiga mereka dalam perjalanan menghadiri mesyuarat di Chanet.

“Kenderaan mereka rosak akibat terkena dua letupan bom yang diletakkan di tepi jalan tetapi ia tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan mereka berjaya keluar daripada kawasan serangan ,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kedua-dua bom seberat 10kg yang diletakkan dalam jarak 100 meter antara satu sama lain diaktif menggunakan telefon bimbit, menurutnya.

Somchai berkata, sejurus selepas serangan bom itu, penyerang tidak dikenali yang bersembunyi di kawasan semak tepi jalan melepaskan tembakan ke arah kenderaan anggota tentera terbabit tetapi serangan itu gagal.

Pihak keselamatan menemui kelongsong peluru AK-47 bertaburan di tepi jalan raya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan di Muang Pattani, seorang penuntut perempuan Prince of Songkla University (PSU) nyaris maut apabila ditembak oleh seorang anggota tentera yang mabuk berikutan kemalangan jalan raya.

Anggota tentera berusia 31 tahun dan berpangkat sarjan sebelum itu sedang memandu kereta dan telah melanggar sebuah motosikal yang terletak di hadapan rumah mahasiswi itu, yang terletak di Jalan Charenpradit kira-kira 200 meter daripada PSU.

Ketua Polis Muang Kol Kirati Waeyusof berkata dalam kejadian 6 petang waktu tempatan itu anggota tentera itu telah melepaskan dua das tembakan ke udara dan satu das ke arah mahasiswi itu tetapi tidak mengenai sasaran.

Ketua Tentera Pasukan Petugas Pattani Mej Jen Jatuporn Kalampasut dalam sidang media hari ini berkata, anggota tentera itu kini ditahan di sebuah kem tentera di Pattani dan akan dikenakan tuduhan cuba membunuh, merosakkan harta-benda awam serta membawa senjata di tempat awam tanpa kebenaran.

Beliau juga akan didakwa meminum minuman keras ketika bercuti. –  BERNAMA

[embedded content]

Viral Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *